Saturday, 18 February 2017

Filled Under:

"Mak, Ayah Kat Mana, Hari-Hari Adik tunggu Ayah Peluk Adik"

DUNGUN - Luluh hati seorang ibu apabila anak kecil berusia tiga tahun yang masih tidak mengerti apa-apa sering bertanyakan tentang arwah bapanya.


Siti Maisarah Che Yusof, 34, berkata, suaminya, Anis Fajre Awang, 46, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kelantan ketika mengikuti konvoi bermotosikal ke Pulau Pinang pada 26 Januari lalu.

Katanya, dia masih terkejut dengan musibah yang menimpa tetapi perlu kuat demi empat anaknya.


"Saya ada empat anak berusia 8 bulan hingga 17 tahun.
"Anak yang besar dah faham tentang perkara ini dan yang kecil memang tak tahu apa-apa," katanya.
Katanya, walaupun mereka melihat sendiri arwah bapa dikebumikan tetapi salah seorang anak, Mohd Hasif selalu tanya seolah-olah menunggu kepulangan bapanya itu.
"Paling menyentuh perasaan bila anak lelaki berusia tiga tahun selalu tanya abahnya. Dia kata abah tidur dalam van masjid. Dia tahu kubur abahnya tapi masih tak faham apa yang terjadi.
“Memang dia sangat rapat dengan arwah abahnya dan sekarang dia tidur akan berselimut dengan kain pelikat abahnya,” katanya pada Majlis Penyerahan Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat oleh Perkeso di rumahnya di Kampung Tanah Lot, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun (MPD) Mohamad A Rahman sebagai wakil majikan kepada arwah Anis Fajre yang juga salah seorang kakitangan MPD.

Siti Maisarah berkata, walaupun berat dugaan yang diterima dia perlu kuat dan pada masa sama bersyukur dengan faedah diterima daripada Perkeso yang akan dimanfaatkan untuk pendidikan anak-anak.
“Saya bekerja di sebuah bank di Kuantan dan setiap hujung minggu akan pulang bersama anak-anak di sini.
“Sebelum arwah meninggal memang tiada sebarang perubahan pelik yang ditunjukkan dan dia memang minat mengikuti konvoi bermotosikal.

“Bayaran faedah dan pencen yang diterima akan digunakan untuk masa depan anak-anak. Kami sekeluarga berterima kasih kepada Perkeso,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Dungun, Ariff Rani berkata, hasil semakan, arwah pernah mencarum dengan Perkeso sejak 2000 hingga 2007 sebelum diserap ke jawatan tetap di MPD.
“Waris arwah layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM1,500 dan faedah pencen penakat.
“Balu juga akan menerima pencen seumur hidup, manakala anak-anak akan menerima pencen sehingga umur 21 tahun,” katanya.






0 comments:

Post a Comment