Saturday, 4 June 2016

Filled Under:

GEMPAR!! Lebih 100 Mayat Pendatang Terdampar Di Pantai

GEMPAR!! Lebih 100 Mayat Pendatang Terdampar Di Pantai

Sekurang-kurangnya 104 mayat pendatang ditemui terdampar di pantai di bandar barat Libya, Zwara.

Tentera laut Libya hari ini (3 Jun) memberi amaran, angka korban mungkin akan meningkat.

"Jumlah mayat yang ditemui malam Khamis mencecah 104, namun angka korban dijangka meningkat kerana secara purata sesebuah bot membawa 115-125 penumpang," kata jurucakap tentera laut Libya, Kolonel Ayoub Qassem.

Seorang jurugambar AFP yang ke pantai itu berkata, beliau melihat beberapa mayat wanita dan kanak-kanak.

Para penyeludup manusia mempergunakan keadaan huru hara yang melanda Libya sejak pemberontakan pada 2011 yang menggulingkan diktator Moamer Kadhafi, untuk menyeludup para pendatang ke Eropah melalui Laut Mediterranean.

Ia satu perniagaan yang menguntungkan bagi para penyeludup itu, yang menyumbat para pendatang ke dalam bot-bot yang terlalu kecil dan tidak selamat digunakan bagi pelayaran ke Itali, yang terletak hanya 300 kilometer dari pantai Libya.

Setiap tahun, ribuan pendatang cuba merentasi laut untuk ke Eropah, namun ramai yang mati lemas apabila bot mereka karam.

Kolonel Qassem berkata bot-bot pendatang dari barat Libya biasanya bertolak dari bandar pelabuhan Sabratha dan Zwara - para penumpangnya kebanyakannya orang Afrika atau Arab dari Maghribi.

Identiti mayat-mayat yang terdampar itu masih belum dikenal pasti.

Kolonel Qassem berkata masih belum jelas sama ada para mangsa itu dari tiga bot yang terbalik minggu lalu di perairan Libya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mereka yang terselamat berkata hampir 700 pendatang, termasuk 40 kanak-kanak yang berada di bot-bot itu, mati lemas.

Sekitar 204,000 pendatang dan pelarian sudah merentasi laut Mediterranean ke Eropah sejak Januari, menurut agensi pelarian PBB.

Lebih 2,500 orang mati ketika cuba merentasi laut itu tahun ini, kebanyakannya ketika melakukan perjalanan antara Libya dan Itali - sedang Eropah bergelut dengan krisis pendatang yang paling meruncing sejak Perang Dunia Kedua. 




0 comments:

Post a Comment